Individu positif Covid-19 dibenar mengundi

  • Post author:

Individu yang disahkan positif Covid-19 dengan tahap kesihatan yang tidak kritikal, akan dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, mereka masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermesyuarat dengan SPR bagi mengesyorkan beberapa cadangan untuk dimasukkan di dalam SOP bagi mengelak penularan wabak itu, sekali gus memastikan pilihan raya berjalan dengan lancar.

“KKM memang bekerjasama dengan SPR setiap kali ada PRU untuk keperluan perkhidmatan kesihatan dan sebagainya.

“Kita mengesyorkan beberapa cadangan untuk dimasukkan sebagai SOP pada PRU-15 kepada SPR dan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Antara SOP itu adalah pemakaian pelitup muka, pelindung muka (face shield) dan penggunaan cecair pencuci tangan pembasmi kuman, selain ada saluran khas untuk mereka ini.

“Jadi kita tengah bincang dengan SPR dan pihak SPR akan buat pengumuman dan KKM membantu daripada segi pelaksanaan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Penglihatan Sedunia (World Sight Day) Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, semalam.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, kehadiran individu yang positif itu juga akan dipantau ketat kakitangan KKM yang akan bertugas di pusat-pusat mengundi di seluruh negara.

“Kakitangan kementerian juga akan menjadi sebahagian petugas PRU-15 nanti untuk memastikan perjalanannya selamat dan lancar,” katanya lagi.

Baca Juga: Budak ini cari tempat strategik untuk sorok diri, tapi tersekat pula dalam mesin basuh

Baca Juga: PH lancar manifesto Khamis depan – Anwar