Jadi artis pertama buka stesen televisyen, AC Mizal mengaku hampir pulangkan lesen

  • Post author:

Pastinya ramai gembira apabila impian yang dipendam sudah lama akhirnya tercapai. Datuk AC Mizal berjaya buka stesen televisyen dengan rangkaian media dan hiburan terbaharu di bawah jenama SUKE TV buat penonton di negara ini.

AC Mizal berkata disebalik kejayaannya itu dia banyak menerima sindiran dan diperlekeh oleh banyak pihak termasuk rakan-rakan sendiri malah dirinya hampir berputus asa dan mahu memulangkan semula lesen yang sudah dibayar.

“Memang keadaan itu berlaku. Marah itu ada, tapi itu menjadikan saya lebih bersemangat sebenarnya. Sebelum saya mula SUKE TV ini, ketika itu, ia merupakan percubaan kali terakhir saya. Saya dah nak pulangkan lesen dah.

“Lesen itu sudah ada sebelum saya mula lagi dan kena bayar setiap tahun kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Terus-terang, ketika itu, saya dah tahap berserah betul-betul kepada Tuhan. Ingat lagi, Jun tahun lepas, saya dah betul-betul putus asa.

“Bila tak beroperasi, MCMC akan tarik balik lesen. Tetapi ternyata Allah itu Maha Mendengar akan rintihan-rintihan hamba-Nya, patut pulangkan lesen pada Jun, tetapi Allah gerakkan misi dan visi saya ini bermula April lalu,” katanya.

Isteri sentiasa menyokong

Tidak kisah akan kata orang, AC meluahkan rasa syukur kerana mendapat sokongan dan kepercayaan daripada isterinya, Datin Emylia Rosnaida lapor Utusan Online.

“Kami berdua ini nasib baiknya memang selalu berfikiran positif. Kita tetap nak buat.Nampaknya Tuhan tetap nak bagi rezeki menerusi SUKE TV ini sebab banyak dah bisnes lain yang dijalankan sebelum ini, Allah tetap bukakan jalan yang ini.

“Memang kami tawakal saja pada Allah dan akhirnya di hujung-hujung perasaan dah nak putus asa itu, Dia realisasikan hasrat kami ini. Saya pun pasang niat nak bantu orang, nak beri peluang pekerjaan kepada ramai orang.

“Mungkin kerana itulah, Dia kurniakan peluang ini kepada saya dan isteri. Bayangkan, kamilah artis pertama yang membuka stesen televisyen dalam negara ini, siapa sangka?”katanya.

Baca Juga: Dihubungi saat akhir, Danial tak sempat siapkan diri sebelum mengacara Gegar Vaganza

Baca Juga: Tidak tahu apa motif, lelaki melintas jalan dan pura-pura dilanggar