Jangan rasa ‘bebas’ sangat – Individu belum dijangkiti Covid-19 berisiko tinggi dijangkiti varian cepat bermutasi, paling kebal

  • Post author:

Individu yang belum pernah dijangkiti Covid-19 di Singapura dilapor berdepan risiko lebih tinggi dijangkiti varian baharu yang cepat bermutasi dan paling kebal dikenali sebagai XBB.

Lapor Agensi, angka Kementerian Kesihatan republik itu menunjukkan potensi jangkitan bagi individu belum pernah dijangkiti Covid-19 adalah lebih tinggi berbanding kumpulan lain, iaitu 162.5 jangkitan bagi setiap 100,000 orang sehari hari antara 8 hingga 14 Oktober lalu.

Kadar potensi jangkitan bagi individu dijangkiti Covid-19 sebelum atau semasa gelombang Delta di Singapura tahun lalu ialah 147.4 jangkitan bagi setiap 100,000 orang sehari.

Untuk rekod, kemuncak penularan gelombang Delta di Singapura adalah antara Oktober dan November 2021.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, berkata sebanyak 0.7 jangkitan bagi setiap 100,000 orang sehari menunjukkan kebarangkalian jangkitan semula bagi kumpulan bekas pesakit selepas gelombang Delta adalah sangat rendah.

“Ada dakwaan individu dijangkiti bulan ini dan dijangkiti sekali lagi pada bulan depan, ia sangat jarang berlaku.

“Namun, kebarangkalian ini meningkat jika anda dijangkiti antara empat hingga enam bulan lalu, atau tujuh hingga 10 bulan lalu.

“Bagaimanapun, ia masih jauh lebih rendah berbanding individu belum pernah dijangkiti,” katanya ketika taklimat pasukan petugas Covid-19 rentas kementerian, dipetik Agensi.

Menurut Ye Kung, risiko dijangkiti strain XBB adalah hampir sama bagi individu belum pernah dijangkiti Covid-19 mahupun bekas pesakit yang dijangkiti sebelum atau pada Oktober lalu.

“Perlindungan jangkitan dan vaksin tidak kekal selama-lamanya. Berdasarkan data ini, ia bertahan kira-kira setahun,” jeasnya sambil menambah perkiraan itu adalah mengikut penularan strain semasa.

Varian XBB menggabungkan dua strain Omicron berbeza dilapor telah meningkat di sekitar Asia dan menyebabkan lonjakan kecil dalam jangkitan wabak di Bangladesh dan Singapura.

Berpandukan rekod purata harian kira-kira 5,500 kes sepanjang minggu lalu, berbanding purata harian 2,000 kes dalam tempoh satu bulan lepas.

Namun, Singapura masih belum mengklasifikasikannya sebagai isu yang membimbangkan.

Pada 10 Oktober lalu, Ye Kung berkata, hanya 15 peratus daripada kes Covid-19 baru-baru ini di negaranya adalah jangkitan semula.

“Jika anda mula melihat 50 peratus mendapatnya untuk kali kedua, berkemungkinan gelombang jangkitan baharu,” jelasnya.

Walaupun di tahap kawalan, Kementerian Kesihatan Singapura mula memberikan dos penggalak Omicron Moderna pada 11 Oktober lalu iaitu tiga hari lebih awal dari jadual susulan peningkatan jangkitan yang disebabkan oleh ‘subvarian XBB Omicron’ baharu.

Kemasukan ke hospital Singapura juga telah meningkat seiring dengan peningkatan kes, namun kematian kekal rendah, dengan kurang daripada 12 kes dicatatkan di republik itu sepanjang dua minggu lalu.

Sementara itu, seorang profesor di kampus Jonesboro, Ark, Institut Teknologi New York, Raj Rajnarayanan berkata, strain baharu itu mungkin dapat mengatasi dos imunisasi yang diberikan kerana gabungan mutasi dari strain lain.

Malah, laporan penyelidik di Universiti Peking dan Makmal Changping, mendapati bahawa XBB mempunyai keupayaan terbesar untuk mengelakkan perlindungan antibodi dalam kalangan varian yang baru muncul.