Jenazah penyanyi dan pelakon lagenda era 80-an, Aman Shah, 68, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras, jam 10 malam tadi.
Jenazah Allahyarham Aman Shah disolatkan di Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras, selepas solat Isyak.
Dalam penghormatan terakhir itu, lebih 100 ahli keluarga hadir, termasuk rakan artis dan juga peminat Allahyarham.
Menurut laporan media, Allahyarham Aman Shah atau nama sebenarnya Aman Shah Abu Kassim meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira jam 2.20 petang semalam.
Allahyarham yang popular dengan lagu raya ‘Kepulangan Yang Dinanti’ itu lahir pada 26 April 1954 dan meninggalkan enam cahaya mata.
Sepanjang terlibat dalam industri seni tanah air, Allahyarham juga pernah membintangi filem antaranya Darah Satria, Cikgu Sayang, Sayang Ibu dan Bas Konduktor.
Allahyarham bukan hanya mempunyai kelebihan sebagai penyanyi, malah pernah melangkah setapak ke hadapan dengan bergelar komposer.
Berdasarkan laporan media, lagu ciptaan Allahyarham iaitu Perjalanan Sepi dinyanyikan Shara Eqnor, pernah menyertai pertandingan nyanyian First Asian Song Festival di Nagoya, Jepun pada 1989.
Baca Juga: Tak mahu tempat kedua, gelagat adik ini cuit hati netizen
Baca Juga: Ambulans lambat tiba, hantar mangsa guna jengkaut ke hospital