Jenazah penulis lirik, pelakon dan pelawak, Bob Lokman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Bunut, Kubang Kerian, Kelantan, jam 9.30 malam tadi.
Terdahulu, jenazah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk dimandi dan dikafankan sementara solat jenazah disempurnakan di Masjid Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian.
Lebih 100 keluarga, kenalan dan rakan artis yang hadir termasuk Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa.
Sementara itu, M Nasir berkata, beberapa bulan sebelum itu beliau sempat menziarahi Bob yang masih lagi sihat.
Mengimbau kembali, M Nasir berkata, mereka bertemu buat kali pertama pada 1980-an sebelum Bob bersama kumpulan Wings sebagai pengurus, dan menganggap hubungan antara mereka berdua bagaikan adik-beradik.
Menurut M Nasir lagi, beberapa tahun kemudian, mereka bertemu semula dan Bob masih bersama kumpulan Wings dan sejak itu hubungannya terus rapat.
“Bob mempunyai pendirian dan setiap lirik dan seni kata mempunyai keunikan kerana dia berfikiran tersendiri dan kebanyakan lagu ciptaannya juga menjadi siulan ramai,” katanya.
Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 58, meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian kira-kira jam 3 petang semalam dipercayai akibat komplikasi jantung.
Baca Juga: Lebih 20 warga China hilang akibat bot karam di Kemboja
Baca Juga: Hamil anak ketiga lebih mencabar, Mawar Rashid masuk hospital sebab dihidrasi