JKM mohon bantuan kesan ibu bapa Ayyash

  • Post author:

Bantuan orang ramai diperlukan bagi
mengesan ibu bapa kandung atau waris bayi lelaki bernama Muhammad Ayyash Mikhail yang lahir pada 9 Ogos lalu.

Perkara itu dinyatakan Pejabat Kebajikan Masyarakat Cawangan Subang Jaya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pegawai Pelindung, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Subang Jaya, Wan Auni Sabihah Wan Mustafa memberitahu, bayi itu dirujuk ke pejabat JKM oleh Hospital Serdang selepas dijumpai di hadapan sebuah rumah di kawasan perumahan di Seri Kembangan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan polis, bayi ini ditemukan berdekatan rumah beralamat B-12-5, Pangsapuri Cahaya Permai, Jalan Permai Sentosa, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, pada 10 Ogos lalu.

Menurut Wan Auni lagi, bayi itu dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Petaling Jaya pada 12 September lalu untuk perintah penjagaan sementara di bawah Subseksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

“Mahkamah mengeluarkan perintah supaya bayi itu ditempatkan di institusi JKM untuk tempoh sementara bagi menjalankan siasatan mengesan ibu bapa kandung bayi itu serta menyediakan laporan,” katanya.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat tentang ibu kandung atau waris bayi tersebut boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Cawangan Subang Jaya di talian 03-56343095 atau hadir ke pejabat.

Baca Juga: Lelaki guna agama untuk kahwin dua, tapi duit minta dekat isteri dan adik beradik

Baca Juga: Van sekolah terbabas, 12 murid cedera