Jumlah mangsa banjir meningkat di Kedah, PRU pula makin dekat

Sudah kebiasaan Malaysia menghadapi banjir terutamanya di hujung-hujung tahun. Namun tahun ini bukan sahaja banjir yang tiba tetapi diiringi juga dengan Pilihan Raya Umum (PRU) 15 yang tetap dilaksanakan walaupun dalam musim banjir.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir dikatakan meningkat  kepada 267 orang mangsa daripada 87 keluarga yang ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah.

Disebabkan angka yang semakin menaik, empat PPS baru dibuka semalam. Satu di daerah Kota setar iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti, manakala tiga lagi PPS di daerah Baling iaitu di SK Tanjung Pari, SK Sri Bayu dan SK Siong.

Satu PPS di Kubang Pasu iaitu di SK Binjai masih aktif sejak dibuka Rabu lalu yang menempatkan seramai 86 mangsa daripada 26 keluarga.

Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, banjir kilat di daerah Baling berikutan hujan lebat selama beberapa jam.

Beliau berkata, ia menyebabkan beberapa kawasan dinaiki dari sistem perparitan yang tidak teratur serta paras air sungai yang meningkat ke tahap yang bahaya lapor Harian Metro.

Sehubungan itu katanya, APM Kedah menasihatkan penduduk berhampiran sungai supaya sentiasa berwaspada dan menghubungi pasukan penyelamat dengan segera , sekiranya berlaku banjir di kawasan mereka.

Baca Juga: Penat hadap banjir, warga emas habiskan RM47,000 untuk bina rumah terapung

Baca Juga: Gara-gara merajuk dan tidak puas hati ditegur, remaja naik bas ekspres seorang diri berbekalkan RM200