Selepas seminggu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada Khamis minggu lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada semalam mengumumkan senarai ahli Kabinet Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada 28 ahli Kabinet.
Beliau mengotakan janjinya untuk membentuk Kabinet yang kecil dan sehingga kini menuai pujian dari penganalisis politik dan orang ramai.
Antaranya adalah Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang turut mengucapkan tahniah atas pelantikan barisan Kabinet tersebut.
Beliau berpandangan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim satu-satunya kerajaan yang boleh menjanjikan masa depan baik untuk negara.
Justeru beliau menyarankan rakyat Malaysia untuk bersabar dan memerhati apa yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan ini.
“Barisan Kabinet ini luar biasa. Barisan Kabinet ini tidak membazir dan yang dah dikecilkan saiznya. Barisan Kabinet ini terdiri dari pelbagai kaum dan representatifnya merangkumi Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Itu yang istimewanya daripada Kabinet ini. Kalau kita hendak kritik, memang boleh kritik (terutama) tentang langgar janji manifesto dan sebagainya.
“Tetapi sebagai pemerhati politik saya rasa inilah satu-satunya kerajaan yang boleh menjanjikan masa depan yang baik untuk negara. Kita bersabar, kita tengok apa yang boleh dibuat kerajaan ini untuk negara.
“Dari segi kos sara hidup, ekonomi dan janji untuk membawa masuk harapan-harapan baru yang mengujakan,” katanya dalam satu ulasan pendek di Facebook malam tadi.
Apa yang lebih penting katanya adalah kestabilan kerajaan itu yang kemudiannya akan membawa kemajuan kepada negara dan membolehkan Anwar dan Kabinetnya merancang ekonomi negara.
Perdana Menteri menepati janjinya sebelum ini apabila mengurangkan saiz Kabinet kepada 28 Jemaah Menteri.
Dalam senarai Kabinet yang diumumkan malam tadi, kerajaan perpaduan itu terdiri daripada 15 pimpinan Pakatan Harapan (PH) dengan pecahannya PKR (lapan), Parti Amanah Negara (dua), DAP (empat) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (satu).
Sementara itu, enam wakil Menteri Barisan Nasional (BN) didominasi Umno, dua Gabungan Rakyat Sabah (GRS), empat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan seorang teknokrat.
Baca juga: Tokong Buddha kosong, semua sami kena angkut sebab positif dadah
Baca juga: Deko macam hospital mental tapi harga rumah cecah RM101 juta, Kim Kardashian pilih minimalis