Kahwini 53 wanita dalam tempoh 43 tahun, lelaki Arab cari ‘keamanan dan kestabilan’, bukan ‘keseronokan peribadi’

Seorang lelaki Arab Saudi berusia 63 tahun kahwini 53 wanita dalam tempoh 43 tahun. Lelaki tersebut memaklumkan perkahwinannya adalah demi kestabilan dan ketenangan fikiran, bukan kerana kepuasan peribadi.

Ketika ditemu bual stesen televisyen tempatan MBC, dia berkata, perkahwinan kali pertama adalah ketika usia 20 tahun dan wanita itu enam tahun lebih tua daripadanya. Kebanyakan wanita yang dikahwininya adalah warga Arab Saudi.

Katanya, dia memutuskan untuk berkahwin lagi pada usia 23 tahun dan memaklumkan kepada isteri pertama. Selepas berlaku masalah antara isteri pertama dan kedua, dia memilih untuk berkahwin kali ketiga dan keempat.

“Saya berkahwin banyak kali kerana ingin mencari isteri yang boleh membahagiakan saya dan berusaha berlaku adil kepada semua isteri.

“Setiap lelaki di dunia ini mahukan seorang wanita dan kekal bersama hingga selamanya. Kestabilan tidak boleh didapati daripada wanita muda, tetapi wanita yang lebih berusia,” katanya.

Paling singkat kahwin satu malam

Katanya, perkahwinan paling singkat adalah selama satu malam dan paling lama bertahan selama 25 tahun. Namun, dia juga pernah berkahwin dengan wanita asing ketika lawatan perniagaan ke luar negara.

“Saya selalunya tinggal di luar negara dalam tempoh tiga ke empat bulan. Jadi, saya berkahwin untuk mengelakkan maksiat,” katanya.

Lelaki itu kini hanya mempunyai seorang isteri dan tidak berhasrat untuk berkahwin lagi.-AGENSI

Baca Juga: Pekerja hotel luah realiti kebanyakan kaki travel suka buat sepah dekat bilik, siap tinggalkan najis berterabur

Baca Juga: Lipas hinggap di topeng muka, doktor gigi hampir lari keluar bilik