Kali terakhir jumpa Julai tahun lalu, Zalina dalam keadaan sihat – rakan beritahu

Polis diberitahu bahawa Zalina Shaharah Azman, 58, ada bertemu dengan rakannya pada Julai tahun lalu sebelum dilaporkan hilang sehingga kini.

Rakan kepada Zalina memaklumkan, bekas pembaca berita itu berada dalam keadaan sihat sahaja ketika kali terakhir bertemu.

Rakannya itu juga tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Zalina dan dengan itu tiada perkembangan terbaharu melibatkan wanita itu sehingga kini, menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim.

Keterangan rakan Zalina yang berusia 30-an itu diambil pada 16 Ogos lalu kerana dia merupakan orang terakhir bertemu dengan Zalina, sekaligus menjawab teka teki bahawa orang terakhir ditemui bukanlah dalam kalangan pekerja binaan.

“Orang terakhir itu adalah rakan kenalan sahaja dan bukan ahli keluarga atau pekerja binaan.

“Keterangan diambil 16 Ogos lalu serta kali terakhir individu itu bertemu dengan Zalina pada Julai tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kehilangan bekas pembaca ­sejak sembilan bulan lalu terus menjadi misteri apabila tiada sebarang petunjuk mengenainya sehingga kini.

Zalina dilaporkan hilang oleh anak lelakinya berusia 33 tahun pada 29 November tahun lalu.

Polis sebelum ini mendedahkan pihaknya yakin Zalina masih berada di negara ini susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.

Zalina juga sempat melakukan pengubahsuian rumah dan membelanjakan kira-kira RM260,000 dengan pembayaran terakhir pada Ogos tahun lalu sebelum menghentikannya kerana faktor kewangan.

Baca juga: Gen Z paling ramai gunakan TikTok berbanding Google untuk lakukan pencarian, mereka suka ciri FYP

Baca juga: Mahu pelajari agama Islam kembali, Bella Hadid tak kisah hilang kerja sebab sokong Palestin