Zaman sekarang kebanyakan orang menggunakan gajet tidak kira samada telefon bimbit, komputer riba atau pun peralatan teknologi yang lain.
Baru-baru ini, sebuah kampung di Maharashtra, India meminta semua penduduk agar mematikan televisyen dan peranti mudah alih bermula jam 7 malam.
Ia adalah sebagai langkah melindungi anak-anak daripada ‘ketagihan digital’.
Rutin harian tersebut mula dilaksanakan di Kampung Mohityanche Vadgaon yang terletak di daerah Sangli pada 15 Ogos lalu.
Sejak itu, kampung tersebut bebas selama 90 minit daripada ‘belenggu digital’ pada setiap hari.
“Semua orang telah mendisiplinkan diri sendiri. peraturan ini adalah langkah ‘pembersihan digital’ untuk seluruh kampung,” kata ketua Kampung Mohityanche Vadgaon, Vijay Mohite.
Masalah ketagihan digital sudah lama disedari pihak berkuasa dan juga ibu bapa di India, apabila sekatan wabak Covid-19 yang panjang, didapati menghalang kanak-kanak daripada mengikuti aktiviti berkumpulan selama hampir dua tahun.
Pada Mac lalu, Menteri Elektronik dan Teknologi Maklumat, Rajeev Chandrasekhar berkata, lebih satu pertiga kanak-kanak di India mengalami masalah hilang tumpuan akibat penggunaan telefon bimbit.
Kesan akibat pembelajaran dalam talian juga berlaku di kampung Mohityanche Vadgaon.
“Sekatan Covid-19 dan kelas dalam talian menjadikan kebanyakan kanak-kanak yang bersekolah, ketagih dengan telefon bimbit sekali gus menjejaskan tingkah laku akademik dan emosi mereka.
“Kami sedar peraturan seperti ini menentang arus kemajuan, tetapi penyingkiran digital penting jika ibu bapa di kampung ini mahu anak-anak mereka mempunyai masa depan yang cerah,” kata Mohite.
Baca Juga: Akibat sindir menteri – Penjual mi ditahan, rumah digeledah