Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut, dipercayai didera bapa tirinya di rumah mereka di Taman Sri Ramal, Kajang, kelmarin.
Menurut Ketua Polis Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, pihaknya menerima maklumat kematian kanak-kanak itu pada jam 12.39 tengah malam Selasa, daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Serdang.
“Pihak Jabatan Kecemasan dan Trauma Zon Merah hospital berkenaan telah menerima pesakit seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa menggunakan ambulans dari rumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 11.33 malam,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan, hasil pemeriksaan mendapati, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Hasil pemeriksaan bedah siasat pula mendapati punca kematian mangsa adalah dipercayai daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan sehingga usus pecah.
“Selain itu, terdapat juga kesan-kesan cedera lebam di bahagian punggung, dada dan lengan tangan mangsa,” katanya lagi.
Katanya, sepasukan anggota polis telah menahan seorang lelaki yang juga bapa tiri mangsa berusia 53 tahun di pekarangan hospital itu pada jam 2.25 petang, Rabu.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini dengan menggunakan tangan, kaki dan baldi di dalam tandas akibat marah dengan mangsa yang sering membuat masalah di rumah ketika ketiadaan ibu mangsa,” ujarnya lagi.
Mohd Zaid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat tentang kes itu, boleh menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Asisten Superintendan Ray Erindra Raj di talian 019-6616640 bagi membantu siasatan.
Baca Juga: Fuh! Wanita ni hantar pesanan makanan sejauh 30,000 kilometer, dari mana ke mana?
Baca Juga: Cristiano Ronaldo individu pertama di dunia miliki 500 juta pengikut di Instagram