KASA pasang 526 siren amaran awal banjir

  • Post author:

Sebanyak 526 siren amaran awal banjir dipasang di seluruh negara bertujuan memberi amaran awal bencana banjir dan fenomena kepala air.

Daripada jumlah itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebanyak 472 adalah siren lama.

Beliau berkata selebihnya adalah siren yang baharu dipasang di kawasan-kawasan berisiko berlaku banjir dan kejadian kepala air.

Menurut Tuan Ibrahim, pemasangan siren berkenaan adalah untuk memberi amaran kepada orang ramai supaya bersiap sedia untuk berpindah atau ke kawasan selamat sekiranya berdepan dengan bencana itu.

“Kita dapat aduan mengenai kawasan-kawasan rekreasi melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kita pasang siren-siren amaran banjir dan sebagainya untuk beri maklumat awal kepada pengunjung atau penduduk.

“Siren ini kita sudah pasang sebelum ini cuma kita tingkatkan lagi di tempat-tempat tertentu terutama kawasan-kawasan yang biasa kena banjir (atau berisiko kepala air).

“(Sebagai contoh), kadang-kadang banjir ini berlaku tengah malam (ketika) orang tidur (bila ada siren), sekurang-kurangnya ada amaran supaya penduduk bersedia dan ambil tindakan berpindah sekiranya air mencapai tahap-tahap tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun di Dewan Sivik Bijangga Dungun, hari ini.

Baca Juga: Ahli perniagaan Malaysia, ‘Fat Leonard’ berjaya ditahan di Venezuela selepas larikan diri

Baca Juga: Khai Bahar mohon doakan ibu, masuk ICU sebab kegagalan buah pinggang