Lori tangki minyak menjadi antara kenderaan berat yang sering dan selalu dilihat berada di atas jalan. Pasti ada antara kita yang berasa ‘seram’ setiap kali berselisih atau dipotong oleh lori tangki minyak di atas jalan, kan
Selain saiznya yang besar, lambang yang memaparkan amaran ‘mudah terbakar’ pada lori tangki tersebut turut mampu membuatkan kita terbayang insiden buruk yang boleh berlaku.
Tetapi kan, sepanjang adan melihat lori tangki minyak di atas jalan, pernah tak terfikir mengapa semua tangki minyak yang dibawa selalu berbentuk silinder?
Mengapa tiada tangki minyak berbentuk lain, seperti kiub atau segi tiga yang digunakan?
Jadi, kali ini kami di SK ingin berkongsi dengan anda semua beberapa informasi menarik berkenaan lori tangki minyak bagi menjawab soalan-soalan di atas.Kenapa tangki minyak berbentuk silinder, bukan segi empat?
Menurut portal Science ABC, struktur silinder merupakan sebuah bentuk yang kuat dan stabil serta tidak mempunyai titik lemah yang memerlukan pengukuhan tambahan dibuat.
Bentuk-bentuk seperti segi empat tepat dan segi empat sama mempunyai bahagian penjuru dan sudut rata yang menjadi titik lemah ketika berdepan tekanan.
Mudahnya, bentuk-bentuk selain silinder berisiko untuk rosak atau gagal lebih pantas apabila perlu menampung tekanan yang lebih besar.
Konsep yang sama juga boleh dilihat pada tingkap kabin pesawat yang berbentuk bulat, bukannya berbentuk petak untuk menahan tekanan.
Sfera pula adalah bentuk paling baik untuk menyimpan cecair kerana bentuk tersebut membenarkan penyimpanan isipadu maksimum untuk satu-satu permukaan kawasan.
Walau bagaimanapun, sfera tidak mudah untuk diangkut. Maka, bentuk sfera yang dipanjangkan atau disebut sebagai silinder digunakan sebagai tangki minyak.
Kestabilan lori tangki minyak berbentuk silinder
Selain itu, faktor kestabilan lori tangki minyak ketika mengangkut cecair seperti minyak dan gas yang mudah terbakar juga merupakan satu perkara yang penting. Bagi mengurangkan risiko berkenaan, lori tangki dibina dengan pusat graviti rendah.
Oleh itu, bentuk tangki yang dibina juga perlu mempunyai titik graviti rendah, serendah yang mungkin dengan tanah.
Dalam hal ini, segi empat tepat dan segi empat sama adalah pilihan kurang baik kerana titik gravitinya lebih tinggi daripada bentuk silinder.Meminimakan impak pergerakan cecair ketika lori tangki sedang bergerak
Seterusnya, struktur silinder juga dapat meminimakan impak pergerakan cecair ketika lori tangki sedang bergerak atau membrek.
Hal ini kerana, impak yang kuat daripada dua situasi tersebut berisiko membuatkan lori terbalik ketika melalui selekoh atau hentaman kuat ketika lori dihentikan.
Justeru, setiap lori tangki mempunyai kepingan logam di dalamnya bagi mengurangkan impak pergerakan cecair.
Proses pengekstrakan minyak dan penyelenggaraan lebih mudah
Selain itu, struktur silinder dikatakan lebih memudahkan proses mengestrak kandungan cecair yang disimpan kerana membolehkan cecair tersebut mengalir ke bahagaian bawah tangki.
Lori tangki berbentuk segi empat juga akan menjadi lebih sukar untuk dibersihkan berbanding berbentuk silinder.
Seperti yang dikongsikan di atas, bentuk segi empat yang mempunyai sudut penjuru akan menyebabkan lebih banyak kesan cecair melekat di kawasan tersebut.
Situasi itu akan mengambil masa yang lebih lama dan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi berbanding menyelenggara bentuk silinder.