Hilang kawalan ketika tiba diselekoh hingga menyebabkan pertembungan dengan kereta lain menjadi pengakhiran buat pelajar kolej yang sedang menjalani praktikal. Kejadian dikatakan berlaku kilometer 16, Jalan Seremban-Tampin, di sini, 12.45 tengah malam tadi.
Kemalangan berkenaan membabitkan kenderaan jenis Perodua Axia yang dipandu mangsa dari arah Tampin dan kenderaan jenis Nissan Frontier yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, berkata, mangsa, Arref Muzakir Mohamad Shawal, 21, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa yang merupakan pelajar praktikal dalam perjalanan dari rumahnya di Segamat ke kolejnya di Klang.
“Setiba di tempat kejadian berbentuk selekoh, kenderaan mangsa telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan Nissan Frontier,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa meninggal dunia kerana mengalami kecederaan pada bahagian kepala, bahagian dada dan patah kaki kiri. Manakala pemandu sebuah lagi kenderaan dikejarkan ke hospital susulan mengalami kecederaan pada kepala.
Mayat mangsa telah di hantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Baca Juga: Hati-hati fenomena air pasang di Kedah
Baca Juga: Siapa kata Langkawi sunyi? Data tunjuk lebih 250,000 pengunjung datang ke Langkawi bulan lepas