Tiga maut selepas kenderaan dinaiki terbabas di Kilometer 168.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Maran, hari ini. Mangsa yang maut adalah dua wanita dan seorang lelaki dewasa manakala seorang kanak-kanak terselamat dalam nahas tersebut.
Satu laporan mengenai kemalangan yang membabitkan kereta jenis Perodua kancil telah diterima pusat gerakan operasi (PGO) pada pukul 8.10 pagi. Perkara tersebut disahkan Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria.
Menurutnya, dua jentera bersama lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran bergegas ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja menyelamat mangsa lapor Utusan.
“Terdapat empat mangsa dalam kereta itu dan tiga daripadanya meninggal dunia di lokasi kejadian. Mangsa yang maut, dua wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa.
“Bagaimanapun, seorang mangsa membabitkan kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu, Zulfadli berkata, pihak bomba menggunakan peralatan menyelamat khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan itu.