Kereta terbabas sendiri, dua kanak-kanak jadi anak yatim

Perjalanan pulang ke rumah di Shah Alam menjadi perjalanan terakhir buat isteri dan ibu kepada dua anak apabila dia disahkan maut selepas kereta yang dinaiki terbabas sendiri hingga melanggar pokok di Persiaran Raja Muda, Seksyen 3 Shah Alam, semalam.

Mangsa yang baru berusia 29 tahun maut akibat tersepit manakala suaminya berusia 43 tahun cedera di pinggang lapor Kosmo.

Dua anak mereka, bayi lelaki masing-masing berusia dua tahun dan lapan bulan hanya mengalami cedera ringan.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 2.11 petang.

Katanya, berdasarkan maklumat awal kesemua mangsa menaiki kereta jenis Toyota Vios terbabas sendiri sebelum melanggar sebatang pokok.

“Tiga mangsa termasuk bayi itu telah dikeluarkan orang awam dan dihantar ke hospital.

“Pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa wanita yang tersepit di bahagian depan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Baca Juga: LTdL: Lebuhraya KL-Karak ditutup dua jam Khamis ini

Baca Juga: Pelik dan ganjil jika Sanusi tak sedar kecurian REE di kawasan sendiri