Kehilangan helikopter yang dikatakan terputus hubungan semalam ditemui terhempas pagi ini berhampiran Kampung Kenangan, Bidor di Perak, siasatan akan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo berkata, siasatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 lapor Kosmo.
“CAAM mengesahkan bahawa helikopter Eurocopter EC120B, pendaftaran N409HH yang dilaporkan terhempas sebelum ini telah ditemui oleh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), RESCUE01.
“Ketika ditemui berhampiran Kampung Kenangan, Bidor pada pukul 8.18 pagi, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa warga negara Hong Kong dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58, itu bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi oleh pasukan penyelamat.
“Penyelarasan mencari dan menyelamat (SAR) di Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) tamat sebaik semua unit SAR kembali ke pangkalan dengan selamat.
“CAAM ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota pasukan SAR yang terlibat,” ujar beliau.
Baca Juga: Helikopter terputus hubungan selepas 39 minit terbang
Baca Juga: Juruterbang helikopter hilang semalam ditemui maut, walaupun menteri kata masih hidup