Tular sebelum ini apabila ada seorang wanita yang dengan beraninya memakai ihram di Makkah sambil mendedahkan auratnya. Kes tersebut dikatakan sudah selesai di luar mahkamah sudah hampir sebulan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, berkata wanita tersebut tampil bersama ibu bapanya di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Perak Tengah, Seri Iskandar dan melalui sesi kaunseling.
“Kes sudah selesai hampir sebulan lalu selepas pihak kita mengambil keterangan serta semua maklumat berkaitan dengan kehadiran bersama ibu serta bapanya. Alhamdulillah mereka berikan kerjasama amat baik.
“Wanita itu sudah selesai berikan kenyataannya kepada kita. Insya-Allah kita ada cara tersendiri bagaimana hendak menangani kes seumpama ini,” katanya kepada pemberita Harian Metro.
Jalani sesi kaunseling
Walaupun ramai yang mahukan tindakan lebih tegas dikenakan kepada wanita tersebut, JAIPk lebih selesa menggunakan pendekatan tersendiri seperti sesi kaunseling.
“Tidak semestinya dalam kita mencegah sesuatu, ia perlu bersifat suatu hukuman, tangkap, apatah lagi mendera kerana ada kaedah lain yang boleh kita buat tambahan pula dia dan keluarganya berikan kerjasama sangat baik dengan datang sendiri kepada kita.
“Mudah-mudahan dia sedar kesilapan yang dilakukannya serta insaf. Pada saya jika dia tidak insaf dan rasa bersalah, dia takkan datang pun kepada kita sebaliknya mereka datang dengan sukarela,” katanya.
Bimbang kes sama berulang
Mohd Yusop menegaskan jika ada individu yang melakukan kesalahan sama secara berulang maka tindakan lebih tegas akan diambil untuk mencegah daripada kes sebegini berulang lagi.
“Kadangkala mungkin kesalahan itu buat tanpa sedar dan tanpa niat serta tiada maksud tertentu atau mungkin ada kesalahan yang memang sengaja dilakukan di samping dilakukan secara berulang.
“Umpamanya jika didapati kesalahan itu berulang dan sengaja dilakukan, maka sudah tentu tindakan tegas akan diambil,” katanya..
Baca Juga: Wanita buat umrah pakai ihram, rakan dedah isu sebab tak mahu terlibat
Baca Juga: Berselera makan sandwic – Ibu sangat sedih teringatkan itu makanan terakhir anaknya