Kipas pengalir udara tidak dibuka punca 3 pengsan hidu gas

  • Post author:

Tidak buka kipas pengalir udara dikenal pasti punca tiga individu pengsan terhidu asap dan gas di sebuah restoran makanan segera di Pandan Jaya, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebocoran gas di premis berkenaan jam 9.56 pagi tadi.

“Selepas menerima maklumat itu, pihak polis bersama Pasukan Hazmat Selangor, Pasukan Hazmat Kuala Lumpur, Pasukan Bomba Pandan Indah Dan Pasukan Perubatan dari Hospital Ampang bergegas ke lokasi kejadian.

“Kejadian dipercayai berpunca dari kipas pengalir udara tidak dibuka semasa pekerja restoran menggoreng ayam menyebabkan asap tidak dapat dialir keluar dari dapur premis terbabit.

“Kandungan gas karbon oksida dan karbon monoksida yang melebihi kandungan gas oksigen berlaku dalam kejadian itu,” maklum beliau menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Farouk lagi, dua pekerja restoran didapati pengsan, manakala seorang lagi pekerja dalam keadaan lemah.

“Semasa pihak ambulans dari Hospital Ampang memberi bantuan kepada ketiga-tiga mangsa, seorang pembantu perubatan turut pengsan, manakala seorang lagi pembantu perubatan serta pemandu ambulans dalam keadaan lemah.

“Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut dan mereka dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA) kepada HAZMAT dan pihak bomba,” katanya.

Baca Juga: “Bukan budak biasa dik, boleh masuk World of Record!” – Netizen

Baca Juga: 3 individu pengsan akibat terhidu gas bocor