Dijual dengan harga lima kali ganda berbanding harga biasa! Itu yang dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Ia melibatkan penjualan kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Touch ‘n Go (TnG) yang menawarkan harga lima kali ganda, menerusi plaftorm pasaran dalam talian.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan siasatan awal, kes penjualan kad NFC melibatkan pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak.
Beliau berkata, individu tersebut didapati menjual sekeping kad NFC yang asalnya berharga RM10 (tanpa ada sebarang kredit di dalamnya) dengan harga lima kali ganda.
“Pasca pemeriksaan awal, sebanyak enam notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada pihak terbabit antara lain menuntut supaya maklum balas atau penjelasan rasmi perlu dikemukakan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP.
“Kegagalan pihak terbabit berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Alexander lagi, pihaknya dan pengurusan kanan kementerian akan mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG yang dijangka berlangsung minggu ini.
“Pertemuan ini antara lain bertujuan untuk mendapatkan status kaedah semasa penjualan dan isu kekurangan bekalan kad NFC seperti dikemukakan ramai pengguna,” katanya.
Sejak April lepas, penjualan kad NFC mengundang tanda tanya dalam kalangan pengguna, apabila bekalan kad itu terhad di semua saluran.
Baca Juga: Resume paling unik, wanita cetak atas kek dan hantar ke syarikat
Baca Juga: Harap privasi dihormati, Neelofa tak akan sembunyikan Bilal selamanya