Lagi bom meletup di laluan kereta api selatan Thailand, tiga maut

  • Post author:

Tiga pekerja State Railway of Thailand (SRT) maut, manakala empat lagi cedera apabila sebutir bom meletup pagi ini.

Kejadian berlaku berhampiran dengan tempat kejadian landasan kereta api dibom pada Sabtu lalu di Sadao, Songkhla.

Timbalan Komander Tentera Bahagian Keempat Mej Jen Paisan Nusang mengesahkan tiga pekerja SRT meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat lagi cedera dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata insiden berlaku kira-kira 6.30 pagi (7.30 pagi Waktu Malaysia) dan ketika itu tujuh pekerja SRT berada di lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja memperbaiki landasan kereta api yang rosak akibat dibom itu.

Katanya, satu letupan berlaku kira-kira 400 meter dari tempat kejadian pertama.

“Letupan kuat menyebabkan tiga pekerja meninggal dunia di tempat kejadian. Kerja-kerja mengeluarkan mayat sedang diusahakan,” katanya kepada pemberita hari ini seperti dilaporkan Bernama.

Pada Sabtu, sebuah kereta api barang mengangkut getah yang dalam perjalanan dari Hatyai ke Padang Besar tergelincir selepas di landasan kereta api itu dibom.

Dalam kejadian pada 12.50 tengah hari (waktu tempatan) itu, 11 daripada 15 gerabak kontena rosak dan tergelincir daripada landasan.

Siasatan mendapati bom buatan sendiri seberat kira-kira 26 kilogram ditanam di atas landasan.

SRT memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan melibatkan pekerja kereta api yang terdiri daripada dua pemandu, seorang juruteknik dan pekerja lain.

Insiden itu turut menyebabkan landasan mengalami kerosakan teruk.

Baca Juga: [VIDEO] Semangat membantu rakan tu dah ada, tapi ada sesuatu yang buat netizen geli hati…

Baca Juga: 2,500 bangkai anjing laut ditemui terdampar, cetus tanda tanya