Unik! Seorang bayi diberikan nama panggilan ‘Little Nugget’ dek kerana emaknya melahirkan si kecil itu di restoran McDonald’s.
Kejadian berlaku di sebuah restoran McDonald’s di negeri Georgia, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini yang turut melibatkan beberapa pekerja makanan segera itu.
Akhbar Metro UK melaporkan, ketika kejadian Rabu lalu, wanita berkenaan, Alandria Worthy menaiki kenderaan ke hospital bersama tunangnya, Deandre Phillips apabila dia meminta untuk berhenti dan menggunakan tandas di restoran tersebut di Atlanta.
“Saya pergi ke tandas dan air ketuban saya pecah serta-merta,” kata Worthy.
Bagaimanapun, nasibnya baik apabila pengurus restoran tersebut memeriksa keadaan wanita itu di tandas dan melihat apa yang berlaku.
“Dia berada di tandas dan terbaring sambil menjerit,” kata pengurus berkenaan, Tunisia Woodward ketika memberitahu 11 Alive News.
Dua kakitangan wanita, Keisha Blue-Murray dan Sha’querria Kaigler kemudian turut membantu wanita berkenaan melahirkan bayi tersebut.
Dalam pada itu, Phillips melangkah masuk ke dalam restoran tersebut untuk memeriksa tunangnya yang masih belum keluar, tetapi kemudian mendapati dia sedang melahirkan anak.
Worthy dan Phillips menamakan bayi mereka, Nandi Ariyah Moremi Phillips tetapi kakitangan McDonald’s memberinya nama panggilan yang sesuai iaitu Little Nugget atau Nuget Kecil.
Baca Juga: Waris Mahsuri bertandang ke Langkawi lagi
Baca Juga: Warga emas maut ditikam akibat disyaki ada hubungan sulit dengan isteri orang