Langgar perintah injuksi, ahli keluarga Ira Kazar pula diberi notis peguam

Walaupun sudah diberi amaran untuk tidak mengeluarkan kenyataan mengenai Puteri Sarah, ahli keluarga Ira Kazar masih berani bercakap mengenai Puteri Sarah di media sosial dan sekaligus melanggar perintah injuksi.

Disebabkan itu, ahli keluarga terbabit telah menerima notis peguam. Hal tersebut diketahui melalui netizen yang memberitahu Puteri Sarah mengenai kenyataan dikeluarkan oleh ahli keluarga Ira Kazar dalam media sosial, minggu lalu.

Sehubungan itu, peguam Puteri Sarah melakukan penelitian berhubung kenyataan dikeluarkan dan mendapati individu itu melanggar perintah injuksi interim yang diserahkan kepada pihak defendan pada 28 Jun lalu lapor Berita Harian.

Puteri Sarah berkata, peguamnya menghantar satu notis komital, yakni penghinaan terhadap perintah injuksi mahkamah bertarikh 4 Julai lalu kepada individu berkenaan.

“Ada ahli keluarga pihak defendan melanggar perintah injuksi. Jadi, kes ini diserahkan kepada peguam.

“Sepatutnya, pihak defendan tidak boleh mengeluarkan kenyataan atau menyebut nama saya dalam media sosial. Itu tidak sepatutnya berlaku.

“Disebabkan itu, peguam sudah dapat mengesan individu di kalangan ahli keluarga defendan membuat kenyataan membabitkan nama saya dalam media sosial,” katanya.

Tahu melalui netizen

Isteri kepada pengarah, Syamsul Yusof itu berkata, dia dimaklumkan berhubung perkara berkenaan oleh netizen.

“Saya dapat tahu perkara ini selepas diberitahu netizen. Jika ikutkan, saya tak ambil tahu sebab terlalu sibuk dengan kerja.

“Namun, netizen maklumkan dan saya terus menyerahkan perkara ini kepada peguam untuk mendapatkan kepastian sama ada melanggar perintah injuksi atau tidak.

“Peguam mengesahkan ia melanggar dan surat peguam sudah diserahkan kepada individu berkenaan, semalam,” katanya.

Baca Juga: “Saya perjuangkan ini untuk diri sendiri dan anak-anak” – Puteri Sarah lega kes berjalan lancar

Baca Juga: Isu pemanasan global: Ibu negara Kuala Lumpur jadi nama stesen kereta api di Jerman 3 hari