COVID-19 sudah berada dalam kehidupan kita lebih dua tahun. Dan sejak itu, cara hidup kita berubah hampir sekelip mata.
Ketika dunia bergelut mencari penawar ampuh bagi menangani wabak pembunuh ini, kita dikejutkan pula dengan kehadiran varian baharu yang bermutasi daripada virus asal yang ditemukan di Wuhan, China pada hujung 2019.
Antaranya, varian Delta yang kini amat digeruni.
Ia sangat mudah menular sehingga mendorong kepada pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, malah sekatan kepada individu yang telah pun diberikan dos vaksin penuh di seluruh dunia.
Beberapa negara seperti Amerika Syarikat telah membenarkan kembali pergerakan sejumlah besar populasinya termasuk kanak-kanak yang mudah terdedah kepada jangkitan.
Ini sebab mengapa kita perlu berwaspada terhadap varian Delta.
LATAR BELAKANG
Varian Delta yang juga dikenali sebagai B.1.617.2 pertama kali dikesan di India di mana ia mencetuskan gelombang COVID-19 yang dahsyat di negara itu.
Negara-negara yang mempunyai kadar vaksinasi tinggi seperti United Kingdom telah menangguhkan pembukaan semula negara dan memperkenalkan semula sekatan untuk menangani penularannya sehingga beberapa wilayah di Eropah dan Australia kembali kepada ‘total lockdown’.
Di negara-negara yang kurang vaksinasi seperti Bangladesh dan Indonesia, varian ini bertanggungjawab ke atas gelombang penyakit baharu.
Keperluan kuarantin untuk mereka yang telah divaksinasi namun terdedah kepada varian Delta telah diperkenalkan semula di Israel.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan semua orang kekal memakai pelitup muka tanpa mengira status vaksinasi mereka.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat tidak mengubah panduannya tetapi mengesyorkan agar mereka yang telah mendapatkan vaksin agar terus melindungi diri mereka.
FAKTA
Varian Delta lebih mudah menular berbanding varian lain.
Bukti menunjukkan ia 40 hingga 60 peratus lebih mudah ditularkan berbanding varian Alpha yang dominan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
Malah, varian Delta lebih mudah ditularkan daripada varian asal virus yang pertama kali dikesan di Wuhan.
Varian yang pertama kali dikesan di India ini juga lebih berbahaya berbanding varian lain.
Satu kajian mendapati pesakit dijangkiti varian Delta adalah dua kali ganda berkemungkinan dimasukkan ke hospital berbanding pesakit dijangkiti varian Alpha.
Gejala dihidap pesakit varian Delta juga berbeza dengan simptom COVID-19 biasa sekali gus memudahkan individu dijangkiti menyebarkan virus itu secara tidak sengaja.
Ini kerana ia menyerupai simptom selesema biasa termasuk sakit kepala, hidung berair dan sakit tekak.
Varian ini sudah merangkumi 20 peratus kes baharu di Amerika Syarikat dan 90 peratus kes baharu di United Kingdom.
Peningkatan ini dapat dilihat sejak bulan April lalu di kedua-dua negara, malah bakal menjadi varian dominan di AS dan UK.
Walaupun vaksin Pfizer, Moderna dan Johnson & Johnson yang digunakan di seluruh AS masih berkesan untuk mencegah pesakit simptomatik, namun perlindungan yang ditawarkan daripada satu dos vaksin masih rendah.
Seseorang masih berisiko dijangkiti penyakit ini walaupun sudah mengambil satu dos vaksin. Di sinilah peri pentingnya melengkapkan dua dos suntikan seperti yang disyorkan.
Kumpulan yang tidak divaksinasi merupakan golongan yang paling berisiko terhadap varian Delta.
Kanak-kanak dan golongan muda yang tidak diberikan vaksin dan baru mengikuti program tersebut telah mendorong lonjakan kes baharu di beberapa negara, terutamanya di sekolah.
FAKTA MENGEJUTKAN
Walaupun kanak-kanak cenderung tidak mengalami simptom teruk atau meninggal dunia akibat COVID-19, bukti menunjukkan sejumlah besar menghidap simptom berlanjutan selama berbulan-bulan selepas jangkitan awal mereka.
Walaupun tidak mempunyai jumlah yang tepat, penyelidikan menunjukkan sebilangan besar kanak-kanak mungkin mengalami “Long COVID”
APA YANG KITA TAK TAHU
Keberkesanan vaksin dan penularan varian menentukan berapa banyak individu yang harus diberikan vaksin untuk memutuskan rantaian penyebaran virus dalam populasi yang dikenali sebagai imuniti kelompok.
Berkurangnya keberkesanan vaksin, walaupun sedikit, seperti sifat varian Delta yang sangat menular ini boleh membuatkan ia berada di luar jangkauan kita.
Keraguan dan ketidakpastian yang meluas mengenai berapa lama kekebalan terhadap COVID-19 telah lama membuatkan pakar meragui apakah mungkin untuk mencapai kekebalan kawanan di sesuatu negara.
APA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN
Varian Delta mendorong peningkatan kes COVID-19 di UK dan bertanggungjawab terhadap hampir kesemua kes baharu di sana.
Maklumat daripada wabak tersebut, yang telah mengakibatkan negara itu menangguhkan pembukaan semula ekonomi dan sosial akan menjadi maklumat yang sangat berharga kepada negara-negara lain yang berurusan dengan varian ini.
Ini ditambah dengan varian yang lebih berpotensi dan membimbangkan iaitu Delta Plus yang juga pertama kali dikesan di India dan mulai terdapat di seluruh dunia.
Buktinya masih sedikit namun mutasi baharu ini perlu diberikan perhatian.
sumber : https://www.astroawani.com/berita-dunia/kanakkanak-antara-berisiko-ini-sebab-kenapa-varian-delta-amat-berbahaya-306426