Sedang sibuk menikmati masa terluang di restoran, empat wanita di China terkejut apabila seorang lelaki bertindak menyerang mereka hingga mencetuskan isu nasional mengenai keganasan berasaskan jantina.
Chen Jizhi dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan berkaitan serangan pada Jun lalu itu di bandar Tangshan serta aktiviti jenayah lain, jelas Mahkamah Daerah Guangyang di Langfang, wilayah Hebei.
Pertuduhan itu termasuk mencetuskan pergaduhan, mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan pembabitan dalam jenayah terancang sejak sedekad lalu lapor NBC News.
Mahkamah mendapati Chen dan empat lelaki lain memukul seorang wanita dengan nama keluarga Wang dan tiga wanita lain menggunakan tumbukan, kerusi dan botol arak di dalam restoran dan di lorong di luar premis itu hingga menyebabkan dua mangsa dimasukkan ke hospital.
Selain mendenda Chen sebanyak 320,000 yuan (RM205,841), mahkamah memerintahkan dia dan enam tertuduh lain membayar kos perubatan dan kos lain kepada keempat-empat mangsa terbabit akibat serangan itu.
Selain Chen, 27 defendan lain dalam kes sama dihukum penjara untuk tempoh tetap antara enam bulan hingga 11 tahun, manakala 19 daripada mereka didenda antara 3,000 (RM1,929) hingga 135,000 yuan (RM86,839).
Serangan yang dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV) itu tersebar dengan pantas secara online sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan pengguna internet di China.
Baca Juga: Suka makan ikan bakar, banyak makan sayur direbus – Ini gaya pemakanan lelaki tertua di Malaysia