Lelaki ini ‘kawan’ dengan aligator, berjaya atasi kemurungan

  • Post author:

Kehilangan seseorang dalam hidup sememangnya boleh menganggu emosi kita, apatah lagi teman rapat yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita.

Sunyi dan sedih pasti mengambil tempat dalam jiwa manusia, namun kehidupan perlu diteruskan walau apa pun dugaan yang datang.

Baru, baru ini seorang lelaki dari negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) berjaya mengurangkan tahap depresi yang dialaminya akibat kehilangan teman rapatnya.

Caranya unik! Lelaki dikenali sebagai Joseph Henney itu mengurangkan tahap kemurungannya dengan ‘berkawan’ bersama aligator bernama Wally.

Henney, mula rapat dan menganggap Wally sebagai teman sokongan emosi sejak 2017 apabila dia kehilangan tujuh individu rapat dengannya dalam tempoh tiga minggu.

Kehilangan menyedihkan itu membuatkan Henney berdepan tekanan perasaan, tetapi Wally berjaya membantunya melepasi fasa tersebut.

“Saya kehilangan tiga ahli keluarga dan empat kawan seumur hidup dalam masa terdekat. Doktor mahu memberi saya ubat anti kemurungan tetapi saya memilih untuk tidak mengambilnya. 

“Selepas sebulan, saya kembali membuat penilaian mental dan doktor terkejut kerana keadaan saya semakin pulih.

“Lalu bertanya apa yang telah saya lakukan. Saya beritahu bahawa saya cuma habiskan masa dengan aligator,” jelas Henney.

Henney menyifatkan Wally seekor reptilia yang sangat mesra, suka dipeluk dan tidak suka menggigit.

Walaupun haiwan sepanjang 1.6 meter itu terbukti tenang dalam kumpulan manusia, Henney masih perlu menelefon premis tertentu terlebih dahulu jika mahu membawa Wally bersiar-siar di tempat awam. 

Pennsylvania membenarkan aktiviti pemilikan buaya secara sah menerusi permit yang perlu dipohon.

Baca Juga: Bekalan telur terjejas kerana dieksport ke luar negara

Baca Juga: Terbaik abang lori! Budi bahasa di mana sahaja