Hasrat lima graduan sebuah universiti tempatan untuk menghadiri majlis konvokesyen bertukar tragedi, apabila terbabit dalam kemalangan, pagi tadi.
Kemalangan berlaku di Kilometer 396 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), berhampiran hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ulu Bernam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, seorang daripadanya parah, manakala empat lagi mengalami cedera ringan.
Kesemua mangsa yang terlibat adalah wanita berusia 21 tahun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.35 pagi dan mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.
Menurut Norazam, sepasukan 12 anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan Tanjung Malim dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan laporan awal, kemalangan membabitkan kereta Proton Saga dinaiki lima wanita telah terbabas melanggar penghadang jalan.
“Akibat kemalangan itu, seorang mangsa tersepit di bahagian hadapan. Pihak bomba kemudian menjalankan operasi bagi mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Norazam lagi, semua mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.
Baca Juga: Buat pembayaran palsu bernilai RM23 juta, dua beradik ditahan reman
Baca Juga: Perintah berkurung dilanjutkan hingga 7 Oktober