Mahu elak bertembung dengan kereta, remaja tercampak dari motosikal sebelum jatuh jejambat tinggi 30 meter

Hanya kerana ingin mengelak sebuah kenderaan, remaja lelaki tercampak dari motosikal dan terjatuh dari jejambat setinggi 30 meter. Remaja berusia 18 tahun disahkan meninggal di tempat kejadian.

Kejadian dikatakan berlaku di Jalan Besar Nilai-Pajam, Nilai, awal pagi hari ini, kira-kira 2 pagi. Mangsa dikatakan tercampak dari jejambat jalan kereta api setinggi 30 meter.

Ketua Polis daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal Honda Wave yang ditunggang remaja berkenaan dengan kereta Proton Inspira lapor Harian Metro.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Nilai menghala ke arah Pajam.

“Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan masuk ke laluan kereta lalu bertembung menyebabkan mangsa tercampak dan jatuh dari jejambat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Malik berkata, akibat kejadian itu mangsa parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan maut di lokasi, manakala pemandu kereta seorang lelaki berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berkata, pihaknya menggunakan pengusung dan membawa naik mayat dengan bantuan tali.

Baca Juga: Pemandu lori maut, cedera parah di kepala selepas terbabas

Baca Juga: Gara-gara bimbang risiko keselamatan, kamera pengawasan keluaran China disekat di bangunan kerajaan