Isu air tidak lagi selesai di Kelantan dan rakyat negeri ini pastinya sudah lali dengan alasan yang diberikan pemimpin sebelum ini. Namun buat dua beradik ini yang berniaga di hari mengundi, mereka mengharapkan perubahan buat negeri ini untuk Pilihan Raya Umum ke 15.
Tidak menjadikan hari mengundi sebagai alasan untuk tutup kedai, dua wanita ini sanggup beratur seawal 8.30 pagi untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Kuchelong, Bachok, Kelantan.
Noriza Daud, 53, sanggup bangun pukul 3 pagi demi menyiapkan kuah roti canai untuk di jual pada PRU kali ini. Kedai yang terletak berhampiran tempat mengundi menjadi tumpuan orang ramai yang keluar mengundi.
Buat Noriza dia mengharapkan isu air di Kelantan untuk selesai kerana sudah jelak dengan alasan yang diberikan pemimpin sebelum ini.
“Harap siapa yang memimpin kelantan dapatlah selesaikan isu air, dah bertahun-tahun rakyat hadap isu ini tapi pemimpin ambil ringan sahaja.
“Setiap kali cuti pula, kesesakkan jalan sangat teruk di Kelantan, diharapkan dapat selesaikan isu ini juga.”
Bagi Ruslina Daud pula, dia lebih selesa menyokong pemimpin yang juga orang situ dan bukannya orang luar.
“Kita kalau boleh nak sokong orang kampung yang bertanding, tak perlulah pemimpin yang muncul 5 tahun sekali untuk bantu.
“Parti selalu letak calon yang tak duduk pun di kawasan bertanding, jadi macam mana mereka nak tahu kalau ada masalah di tempat tersebut, muncul pula masa nak raih undi sahaja.”
Buka kedai untuk senangkan pengundi beli makanan
Ruslina mengambil peluang ini untuk menjual nasi berlauk buat orang ramai, terutamanya yang tidak sempat memasak selepas keluar mengundi.
“Bila dah mula mengundi, orang dah tak ada masa untuk memasak, jadi makanan yang dijual diharap boleh membantu perut yang lapar setelah mengundi.
“Waktu pagi ni orang tak ramai lagi keluar mengundi, jadi untuk mak cik senanglah tak perlu beratur panjang.”
Diharapkan ramai yang mengambil peluang untuk keluar mengundi dan memilih kerajaan yang layak memimpin serta menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat. Bukan sekadar manifesto, tapi melakukan kerja selepas diberi kuasa oleh rakyat.
Baca Juga: PRU-15: “Saya sudah lakukan yang terbaik!” – R Ramanan