Majikan diwajibkan menunggu ketibaan pekerja warga asing baharu mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, majikan bertanggung jawab menguruskan dokumentasi pekerja dan membuat pengesahan mereka adalah majikan kepada pekerja berkenaan.
Katanya, peraturan Imigresen memberi tempoh enam jam kepada majikan untuk datang ke KLIA dan menerima pekerja asing mereka.
“Dalam keadaan tertentu, tempoh ini akan dilanjutkan dan pekerja asing berkenaan tidak akan dilepaskan keluar sehingga majikan sebenar seperti dalam permohonan, tiba di KLIA untuk menerima mereka.
“Peraturan ini bertujuan untuk memastikan semua pekerja asing mempunyai majikan yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Media melaporkan, kenyataan Khairul itu merujuk kepada hantaran di laman sosial seorang blogger yang membuat dakwaan tidak berasas berkaitan pengurusan masuk pekerja warga asing di KLIA.
Menurut Khairul lagi, kegagalan majikan mematuhi peraturan ini akan menyebabkan pekerja asing itu diberikan notis ‘Not to Land’ (NTL) dan diarah pulang ke negara asal dengan penerbangan berikutnya.
Beliau berkata, sejak pembukaan semula sempadan negara, Imigresen menguruskan kemasukan pekerja asing baharu berjumlah 98,079 bermula 1 April sehingga 26 September lalu.
“Imigresen berasa kesal dengan tuduhan yang tidak berasas oleh blogger berkenaan dan sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya lagi.
Baca Juga: Terbaik cikgu! Guru ini tolong keluarkan ular daripada beg murid
Baca Juga: Polis berjaya lupuskan dadah bernilai RM720,680