Insiden rusuhan melibatkan penyokong bola sepak Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia, perlu dijadikan sebagai iktibar.
Apatah lagi, kejadian itu dilaporkan mengorbankan lebih 100 orang.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kejadian malang yang berlaku di negara Indonesia itu, disifatkan sebagai sesuatu yang mengecewakan.
Beliau berkata, kejadian itu bukan sahaja diharap tidak berlaku di Malaysia, malah di mana-mana negara sekali pun.
“Kita ucapkan takziah kepada kerajaan Indonesia dan seluruh rakyat mereka. Kita mendoakan agar mereka yang telah terkorban diampuni segala dosa mereka.
“Kita akan berhubung dengan rakan sejawatan di sana dan jika ada apa-apa perkara yang kita boleh bantu, tentunya kita akan sentiasa sedia dan menghulurkan bantuan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Makan Malam dan Dana Pilihan Raya PRU15 Pas Negeri Perak di sebuah hotel, malam tadi.
Pada malam Sabtu, dunia bola sepak Indonesia dicemari dengan insiden hitam susulan kejadian rusuhan penonton dan penyokong di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur.
Media melaporkan kejadian tercetus selepas penyokong pasukan Arema FC tidak berpuas hati dengan kekalahan 2-3 ke atas pasukan Persebaya Surabaya, mengakibatkan ribuan penyokong meluru masuk ke kawasan padang.
Situasi tersebut membawa kepada tindakan polis melepaskan gas pemedih mata sehingga menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut.
Baca Juga: Insiden rempuhan stadium, masih banyak mayat belum dikenal pasti waris
Baca Juga: Buat konsert berhampiran masjid, MBAS kecewa sebab keluar lesen untuk busking sahaja