Setakat jam 4 petang tadi, jumlah mangsa banjir kilat di daerah Batu Pahat, menurun kepada 213 orang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat memaklumkan, jumlah berkenaan membabitkan 56 keluarga di sekitar Sri Gading.
“Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 232 mangsa terdiri daripada 67 keluarga yang dilaporkan terjejas pada jam 12 tengah hari tadi.
“Kesemua mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Sri Gading.
“Mangsa adalah penduduk Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Kampung Seri Tanjung dan Pekan Seri Gading,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut Sekretariat (JPBD), banjir berlaku susulan pertembungan hujan lebat bermula jam 1.30 pagi sehingga 4 pagi pada Rabu dan bertembung dengan fenomena air pasang besar yang memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan tersebut.
“Setakat ini, hanya satu PPS yang beroperasi dan menempatkan mangsa banjir sejak 1.30 pagi Rabu lalu. Cuaca dilaporkan cerah setakat jam 4 petang ini,” katanya.
Baca Juga: Pemandu SUV tersepit, rentung dalam kenderaan
Baca Juga: Minat memandu bas, pemuda ini tolak tawaran belajar di tiga universiti