Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 295 orang

  • Post author:

Setakat 12 tengah hari tadi, mangsa banjir kilat di Johor meningkat kepada 295, berbanding 75 orang yang direkodkan petang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan, Kulai adalah daerah baharu terjejas akibat banjir kilat dengan 159 orang dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu.

Menurut JPBD, kesemua mangsa di PPS SMK Bukit Batu yang dibuka sejak 6.30 petang semalam itu, adalah penduduk dari Kampung Melayu Bukit Batu.

“Selain itu, satu lagi PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Kluang dibuka pada 5.30 petang semalam, menempatkan 41 mangsa dari Kampung Sungai Linau.

“Seramai 33 mangsa dari Kampung Tengah, Renggam juga di Kluang masih ditempatkan di PPS SK Sri Kampung Renggam,” maklum kenyataan itu hari ini.

JPBD menyatakan PPS SK Melayu Raya di Pontian pula menempatkan 62 mangsa dari Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti.

“Ini sekali gus menjadikan sebanyak empat PPS beroperasi di negeri ini melibatkan daerah Pontian, Kluang dan Kulai,” maklum kenyataan itu lagi.

Banjir kilat di Johor berlaku, disebabkan hujan lebat melebihi dua jam sejak 10 pagi semalam.

Baca Juga: Isu pakaian seksi ketika persembahan, Dolla mohon maaf

Baca Juga: Visa umrah dilanjut sehingga 3 bulan