Mangsa banjir kilat di Johor meningkat 222 orang

  • Post author:

Setakat 4 petang tadi, jumlah mangsa banjir kilat di dua daerah di Johor meningkat kepada 222 orang berbanding 194 orang pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Batu Pahat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Suloh yang menempatkan 97 mangsa daripada 21 keluarga.

JPBD turut memaklumkan sebuah PPS di Pontian telah ditutup, berikutan kesemua mangsa yang ditempatkan di Sekolah Agama Kayu Ara Pasong telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, berikutan banjir mulai surut.

“Jumlah itu menjadikan keseluruhan sebanyak empat PPS masih beroperasi setakat ini.

“Dua PPS di Batu Pahat adalah Sekolah Agama Seri Bengkal dan SK Peserai, manakala di daerah Pontian iaitu Pusat Kokurikulum Johor, Sungai Tempayan, masih dibuka sejak semalam,” maklum JPBD menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut JPBD lagi, sebanyak tujuh kawasan di Johor dilaporkan masih terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat bermula jam 6.30 pagi, semalam.

Antara kawasan terjejas adalah Kampung Seri Bengkal; Kampung Bintang Peserai; Kampung Dalam; Kampung Sungai Suloh; Kampung Sungai Suloh Besar dan Kampung Patah Pedang di Batu Pahat serta Kampung Sungai Mulih, Pekan Nenas di Pontian.

Baca Juga: Hospital Tanjong Karang dibuka sepenuhnya 10 Oktober depan

Baca Juga: Polis jumpa mayat wanita terperangkap dalam kereta