Sebanyak 55 tan daging kerbau tanpa tulang dari India bernilai RM871,000 dirampas Jabatan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Rampasan daging kerbau itu dibuat pada hari ini, di Pelabuhan Kuantan.
Menurut MAQIS, rampasan berkenaan hasil pemeriksaan rutin dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa jabatan itu.
Katanya, pemeriksaan mendapati daging kerbau tanpa tulang sejuk beku yang dibawa masuk syarikat tempatan itu mempunyai maklumat mengelirukan dalam pengimportan bahan dagangan.
“Modus operandi dilakukan syarikat ini dengan mengisytiharkan maklumat permit yang tidak sama dengan sijil halal dan sijil kesihatan veterinar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana memberikan maklumat mengelirukan dalam pengimportan di bawah akta ini.
“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
MAQIS berkata demikian menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Anggota penguat kuasa MAQIS akan terus memperketatkan kawalan sempadan dan tiada kompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara.
“Tindakan itu bagi memastikan keluaran pertanian mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan,” maklum kenyataan itu lagi.
Baca Juga: Khai Bahar mohon doakan ibu, masuk ICU sebab kegagalan buah pinggang
Baca Juga: RM291.4 juta peruntukan untuk bomba naik taraf fasiliti, tambah aset