Masih tiada kerajaan, GPS serah kepada Agong untuk pilih PM ke 10

  • Post author:

Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahukan kepentingan negara untuk diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil serta mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

Oleh disebabkan itu, GPS kini menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melantik Perdana Menteri baharu yang akan mengetuai pucuk pimpinan negara.

Dalam kenyataan menerusi Pejabat Premier Sarawak, memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati lapor Kosmo.

“Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukan kepada Seri Paduka Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara,” ujar kenyataan itu.

GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan Malaysia daripada gabungan terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Namun ketika ini masih tidak diketahui dimana kedudukan BN sama ada kerjasama mereka memihak kepada PN ataupun Pakatan Harapan.

Baca Juga: Tersepit di celah batu, lelaki ditemui lemas di Sungai Semungkis

Baca Juga: Anwar PM ke-10: Mengapa tidak cuba untuk lima tahun akan datang?