Minat mengatasi segalanya.
Itu perumpamaan sesuai diberikan kepada seorang lelaki yang sanggup menolak tawaran belajar di tiga universiti tempatan di Singapura.
Ini kerana, pemuda itu amat meminati kerjayanya sekarang, iaitu sebagai pemandu bas.
Disebabkan minat yang mendalam terhadap pekerjaannya itu, Matthew Tay, 23, membuat keputusan terus menjadi kapten bas untuk sebuah syarikat bas swasta di Singapura.
Sambil berseloroh Tay berkata, pekerjaannya kini tidak hanya duduk di pejabat, malah bos juga tiada di sekelilingnya sekali gus membolehkannya bersiar-siar sambil bekerja.
Bercakap kepada portal Mothership, Tay berkongsi bahawa dia mula meminati bas pada usia tujuh tahun.
Ketika itu, Tay berkata dia gemar membuat lakaran dan mengambil gambar bas dan kemudiannya menyertai sekumpulan rakan yang berfikiran sama mengenai bas.
“Minat kami semakin berkembang sejak itu. Dulu kami hanya mengambil gambar bas, tetapi kini sama-sama memandu bas,” katanya.
Daripada lima kawan rapatnya, tiga daripadanya kini menjadi pemandu atau kapten bas.
Menurut Tay lagi, dia menerima tawaran untuk belajar Pentadbiran Perniagaan di Universiti Nasional Singapura pada tahun 2020, selain ditawarkan tempat di Universiti Pengurusan Singapura dan Universiti Teknologi Nanyang.
“Pada masa itu, sebenarnya dari 2017 hingga 2021, minat saya untuk bas semakin terhakis kerana model-model semuanya semakin biasa dan tiada apa-apa yang menarik lagi.
“Bagaimanapun, apabila seorang rakan datang mengesyorkan peluang untuk benar-benar memandu bas, minat saya perlahan-lahan kembali semula,” katanya yang memulakan karier sebagai pemandu bas pada 2021 selepas mengikuti kursus lesen memandu Kelas 4.
Baca Juga: 1,000 penduduk jadi YouTuber berlumba-lumba buat ‘content’ hingga di gelar ‘Kampung YouTube’