Nak lihat tangkal menjadi atau tidak, lelaki ditahan lepas bunuh rakan

Tidak pasti apa yang cuba dibuktikan, seorang lelaki dibunuh rakan sendiri selepas suspek bertindak menikam mangsa yang memakai tangkal kehidupan abadi hanya kerana mahu menguji keberkesanan tangkal tersebut.

Memetik Thaiger, suspek baru sahaja dibebaskan dari penjara tahun lepas kerana jenayah membunuh.

Polis melaporkan bahawa Auttapon Na Nakhon, 44, mati ditikam rakannya, Withun, 51, pada 6 November lalu di hadapan sebuah rumah di kawasan Klong Toey, Bangkok.

Pegawai dari Balai Polis Tha Ruer kemudian menyerbu rumah itu dan memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV). Dua rakan itu dilihat minum bersama beberapa rakan sekerja lain di rumah tersebut.

Withun dikatakan meminta kebenaran daripada Auttapon untuk menguji kesaktian tangkal itu sebelum menikam dada mangsa.

Walaupun mangsa berjaya melarikan diri, dia malangnya meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital.

Auttapon mendedahkan butiran kejadian kepada penunggang motosikal yang membantunya itu sebelum meninggal dunia. Dia mendakwa ditikam oleh Withun kerana tangkal yang dipakainya.

Polis melaporkan bahawa Withun enggan memberikan sebarang butiran mengenai jenayah itu dan tidak mendedahkan motif di sebalik tindakannya. Dia berdiam diri sejak ditangkap.

Isteri dan ahli keluarga Withun bertegas bahawa mereka tidak tahu apa yang dilakukan lelaki itu apabila dia pulang ke rumah, jadi polis tidak mengeluarkan sebarang pertuduhan terhadap mereka. – Agensi

Baca Juga: Aduhai! Nasib baik monyet ni tak cedera

Baca Juga: “Who is this woman”- Pencetus idea bendera putih, Kak Jah dapat perhatian masyarakat antarabangsa