Serupa tapi tak sama.
Netizen di India dikejutkan dengan hantaran tular di media sosial menunjukkan gambar yang didakwa sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO).
Laman berita First Post melaporkan, menurut rakaman yang dikongsikan di laman Twitter itu, seorang netizen berkata, dia menerima hantaran imej tersebut daripada seorang rakannya di New Delhi yang menyangka ia adalah sebuah piring terbang.
Bagaimanapun, jika diperhatikan secara teliti, imej sama ternyata sebuah tangki air yang tidak dapat dilihat dengan jelas disebabkan jerebu teruk melanda ibu negara India itu.
Bahagian atas tangki tersebut berbentuk seperti piring terbang yang sering dikaitkan dengan UFO meskipun ia sedikit kabur akibat jerebu tebal.
Bahagian bawahnya pula bagaimanapun hampir tidak kelihatan sehingga menyebabkan sebilangan netizen menyangka ia adalah UFO besar yang berlegar-legar di kaki langit.
Imej yang dimuat naik pada minggu lepas itu menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.
“Pembenci akan menyatakan ia adalah imej ‘photoshop’,” kata seorang netizen yang menyangka ia adalah imej UFO sebenar.
“Kini, UFO boleh terbang di sekitar New Delhi ketika hari siang dan menyamar menjadi tangki air apabila imejnya dikesan,” kata seorang lagi pengguna secara sinis.
Baca Juga: Mak obses dengan cantik, sanggup suruh anak usia 9 tahun buat pembedahan plastik
Baca Juga: Jambatan sementara pula ditenggelami air, penduduk Gua Musang semakin resah