Nigeria mahu mengembangkan bakat rakyat tempatan dengan mengumumkan larangan sepenuhnya terhadap pengambilan model luar serta artis alih suara dalam aksen British untuk iklan di televisyen.
Larangan tersebut bakal dilaksanakan secara rasmi bermula Oktober tahun ini lapor laman berita RT kelmarin.
“Semua iklan dan bahan komunikasi pemasaran hanya boleh menggunakan model dan artis alih suara Nigeria,” kata Majlis Kawal Selia Pengiklanan Nigeria (ARCON) dalam satu kenyataan.
Tambah agensi kerajaan itu, kempen pengiklanan semasa yang menggunakan bakat warga asing dibenarkan untuk diteruskan, namun tidak boleh memperbaharui permit untuk kempen seterusnya.
“Langkah itu selaras dengan dasar kerajaan untuk membangunkan bakat tempatan termasuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan industri pengiklanan tempatan,” kata kenyataan yang sama.
Kerajaan negara itu sebelum ini menuntut syarikat yang menggunakan bakat asing perlu membayar tarif sebanyak 100,000 naira (RM1,044) untuk mana-mana model asing yang digunakan dalam iklan.
“Pada 10 hingga 20 tahun lalu jika anda menyemak iklan, saya mengatakan hampir 50/50 menampilkan model asing dan alih suara aksen Britain,” kata Ketua Persatuan Pengiklanan Nigeria, Steve Babaeko. – Agensi
Baca Juga: Dulu jual botol air, kali ini peminat Billie Eilish jual udara pula dengan harga RM48,000