Tular sebelum ini mengenai pengakuan bekas siswazah yang disuruh menjawab soalan seksual oleh pensyarah hingga menyebabkan dia membuat laporan polis. Pensyarah tersebut telah ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa serta merta.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mereka mengambil serius mengenai dakwaan gangguan seksual oleh pensyarah tersebut lapor Bernama.
UiTM telah melakukan siasatan mengikut garis panduan serta proses perundangan yang termaktub dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].
Menurut kenyataan universiti itu mengikut akta tersebut, tindakan tatatertib boleh diambil ke atas staf yang melanggar peraturan, tatakelakuan serta larangan-larangan yang terdapat dalam Akta 605 dan Peraturan UiTM.
Kenyataan itu menyebut Unit Integriti UiTM telah menjalankan siasatan yang teliti bermula pada tahun lepas, terhadap segala bahan bukti yang telah dikumpulkan sebelum sebarang kesalahan dapat dibuktikan dan jenis hukuman dapat ditentukan.
“Setelah prosedur soal siasat dan siasatan dalaman selesai, serta dimesyuaratkan di Jawatakuasa Tatatertib Peringkat Tertinggi, pihak UiTM telah mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan berkuatkuasa serta merta terhadap pensyarah terbabit yang didakwa melakukan gangguan seksual pada bekas siswazah tersebut,” menurut kenyataan UiTM itu.
Sementara itu, dalam kenyataan yang sama Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata warga universiti sentiasa diberi peringatan secara berkala perihal Akta 605.
“Sekiranya ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah, pihak universiti tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan keras sekiranya disabit kesalahan,” katanya.
Baca Juga: AirAsia Malaysia mansuh pemakaian pelitup muka dalam pesawat
Baca Juga: Pemandu lori selamba buang sampah di sungai sudah ditahan