Padah anjur konsert palsu guna muka Awie dan artis popular, wanita 40-an ditahan polis

  • Post author:

Gara-gara mempromosikan poster konsert Awie dan beberapa artis terkenal lain yang tidak wujud, seorang wanita berusia 48 tahun ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut daripada Datuk Awie, 53, pada Selasa lepas.

Menurut beliau, Awie sebelum itu dimaklumkan perkara berkenaan oleh rakan artis ketika berada di rumahnya di Bukit Antarabangsa.

“Rakan artis itu memberitahu mengenai hantaran di Facebook mempromosikan konsert yang dijangka berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Februari 2023.

“Suspek dikatakan menawarkan jualan tiket konsert berkenaan berharga antara RM199 sehingga RM649 setiap satu.

“Bagaimanapun, pengadu (Awie) menafikan ada ditawarkan atau menandatangani sebarang kontrak untuk menyertai konsert terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Selain Awie, poster tersebut juga menampilkan beberapa artis lain yang dikatakan membuat persembahan termasuk Ahmad Dhani, Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira.

Susulan itu, Mohamad Farouk berkata, pihaknya menahan seorang wanita berusia 48 tahun di Klang pada 10.40 malam Rabu leps selepas dipercayai terbabit dengan penipuan itu untuk membantu siasatan.

“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes penipuan.

“Suspek direman selama tiga hari bermula semalam hingga 29 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” ujarnya lagi.

Beliau memohon orang ramai yang sudah membeli tiket konsert itu supaya tampil untuk membuat laporan polis atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42952222 bagi membantu siasatan.

Baca Juga: PRU-15: AMANAH umum calon Ahad ini

Baca Juga: Lelaki ini tewas selepas ‘bersahabat’ berpuluh tahun dengan ular, pernah kata dia pasrah kalau kena patuk binatang berbisa itu