Pecah cermin kereta, larikan sekotak tepung gandum

  • Post author:

Seorang lelaki ditahan selepas memecah cermin sebuah kereta dan mencuri sekotak tepung gandum di Taman Kota Masai, Johor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata kejadian jam 1.15 pagi tadi itu berlaku di hadapan rumah pemilik kereta terbabit yang berusia 30 tahun.

Menurut Mohd Sohaimi, suspek seorang lelaki dewasa berusia 31 tahun, telah memecahkan cermin kereta pada bahagian tempat duduk pemandu dan melarikan sekotak tepung gandum.

“Kejadian disedari jiran mangsa sebelum suspek melarikan diri. Mangsa dengan bantuan jiran kemudian mengejar suspek sebelum berjaya menahannya di Jalan Pulasan, Taman Kota Masai.

“Sebatang spanar boleh laras yang digunakan untuk mencuri dan sekotak tepung gandum ditemukan ketika suspek ditahan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mohd Sohaimi menambah, mangsa kemudian menghubungi pihak polis dan menyerahkan suspek serta barang-barang yang dirampas untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis merakamkan penghargaan atas kerjasama dan maklumat orang ramai hingga tertangkapnya suspek.

“Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 26 September depan, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 379 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Baca Juga: Warisi harta datuk pengusaha video porno, gadis ini dikatakan lebih kaya dari Ratu Elizabeth

Baca Juga: Uncle Cina ini ingat cendol dekat kenduri kahwin kena bayar, sopan je tanya berapa harga