Pelajar dan belia dijangka jadi sasaran baharu ‘scammer’

  • Post author:

Golongan pelajar dan belia dijangka menjadi sasaran baharu sindiket penipuan dalam talian atau lazimnya dipanggil ‘scammer’.

Penipuan itu terutamanya melibatkan urusan pinjaman wang serta keldai akaun, dengan menggunakan pelbagai modus operandi jenayah siber pada masa depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata kelicikan penjenayah siber mengeksploitasi perubahan teknologi dan kreatif menjerat mangsa, menjadi antara punca peningkatan kes jenayah itu.

Menurut Acryl, kesedaran masyarakat yang masih pada tahap sederhana mengenai jenayah siber, turut menyumbang kepada gejala itu.

“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat wujudnya keperluan untuk menyebar luas ilmu pengetahuan kepada masyarakat supaya mereka dapat mengelak daripada menjadi mangsa kegiatan jenayah itu.

“Ini kerana jenayah kewangan boleh membawa impak negatif kepada mangsa dan menyebabkan lambakan kes jenayah membabitkan keldai akaun akibat akaun bank yang disalahgunakan bagi tujuan penipuan.

“Malah, kegiatan jenayah kewangan sebegini turut memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi dan keselamatan negara, termasuk menggugat kemajuan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pameran Maya Jenayah Kewangan: Semak Sebelum Diperdaya anjuran Muzium Galeri Seni, Bank Negara Malaysia (BNM) yang disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook, hari ini.

Baca Juga: Saja cari penyakit, budak lelaki cucuk jarum akupunktur pada kemaluan sebab bosan

Baca Juga: Hospital Tanjong Karang dibuka sepenuhnya 10 Oktober depan