Remaja sekarang boleh dikatakan lebih berani jika nak dibandingkan dengan zaman dahulu, baru menempuh alam sekolah menengah tapi sudah berani keluar malam bersama rakan lelaki hingga akhirnya diri menjadi mangsa nafsu syaitan rakan sendiri.
Tindakan seorang pelajar perempuan tingkatan satu di daerah Sungai Petani menjerat diri apabila dirogol pada awal pagi Ahad lalu selepas bersetuju untuk keluar bersama rakan pada malam sebelumnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku selepas mangsa dibawa menaiki motosikal EX5 milik seorang pelajar lelaki tingkatan tiga yang dikenalinya itu ke Gunung Jerai.
“Selepas itu, mereka pulang ke rumah pelajar lelaki berumur 15 tahun itu di Bedong dan menaiki pula sebuah kereta Proton Wira milik ahli keluarganya.
“Turut serta dalam kereta itu seorang lagi pelajar lelaki berumur 15 tahun dan tiga lelaki lain berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun,” katanya.
Mangsa kemudian dikatakan dibawa bersiar-siar dan apabila sampai di bawah terowong berdekatan sebuah taman perumahan, dia dirogol dua pelajar lelaki berusia 15 tahun itu di dalam kereta berkenaan secara bergilir-gilir lapor Utusan.
“Kejadian itu tidak membabitkan tiga lagi lelaki lain kerana mereka bertindak sebagai pemerhati dan berada di luar kereta. Selepas kejadian, mangsa dihantar ke rumah sewa seorang rakan pelajar lelaki terbabit di Bedong dan keesokan harinya dia membuat laporan polis,” katanya.
Tambahnya, polis sebelum itu menerima laporan daripada ibu mangsa berkaitan anaknya yang tidak pulang ke rumah pada hari kejadian.
Pihaknya kini sedang mengesan kesemua suspek yang terlibat dalam kes itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Baca Juga: Gara-gara ubah suai tangki minyak bot, 3 lelaki ditahan