Pelancong jatuh di Air Terjun Telaga Tujuh

  • Post author:

Seorang pelancong warga Korea Selatan terjatuh ketika melakukan aktiviti rekreasi di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Hyun Seung, 52 dilaporkan terjatuh dari puncak air terjun sehingga mengalami kecederaan pada bahagian tulang belakang dan serviks.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon, berkata, mangsa dipercayai sedang mandi di kawasan air terjun itu sebelum dikatakan hilang imbangan lalu terjatuh.

Beliau berkata, seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi digerakkan ke lokasi selepas panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada jam 12.59 tengah hari.

“Sebaik tiba di lokasi, kita dimaklumkan terdapat pengunjung terjatuh di kawasan air terjun. Jarak dari kaki Gunung Mat Chinchang ke puncak air terjun adalah kira-kira 90 meter dan kita mengambil masa satu jam untuk sampai ke lokasi.

“Anggota yang tiba di lokasi kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa, sebelum dia dibawa turun ke tempat selamat menggunakan pengusung pada jam 2.54 petang,” katanya.

Beliau memaklumkan perkara itu menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Sayani, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi mendapatkan rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil setakat ini.

Baca Juga: Kes kematian pemandu drag, JPJ ketatkan pemeriksaan

Baca Juga: Umur 100 tahun, tapi doktor ini tetap nak kerja