Pemakaian pelitup muka ketika naik kapal terbang tak wajib

  • Post author:

Pemakaian pelitup muka dalam kapal terbang tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta merta, menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya amat menggalakkan individu yang berisiko tinggi serta bergejala untuk memakai pelitup muka ketika menaiki kapal terbang.

“Kementerian Kesihatan (KKM) amat menggalakkan individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema serta berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu hamil serta mereka yang mengembara bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak untuk memakai pelitup muka dalam kapal terbang.

“Keputusan yang dibuat ini adalah menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan selepas mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang seperti pengudaraan yang baik dalam kabin dan penggunaan penapis melalui tapisan udara partikel keberkesanan tinggi (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara.

“Selain itu, KKM turut mengambil kira susunan tempat duduk ke hadapan, kekerapan penjadualan disinfeksi kapal terbang serta beban kes Covid-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pada 7 September lalu, Khairy mengumumkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan (indoor) adalah atas pilihan.

Menurut Khairy lagi, kelonggaran yang diumumkan itu juga selaras dengan syor kesihatan daripada negara seperti Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia, New Zealand dan Singapura.

“Keperluan pemakaian pelitup muka di dalam kapal terbang bagaimanapun masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh negara yang dikunjungi,” katanya.

Baca Juga: ‘Geng Apik Setan’ akhirnya tumpas juga

Baca Juga: KPDNHEP kesan kad NFC Touch ‘n Go dijual lebih lima kali ganda