Impak pemanasan global bukannya main-main apabila dua pertiga Eropah kini berada di bawah tahap amaran kemarau terburuk dalam tempoh lima abad.
Situasi genting yang dibimbangi akan menjejaskan hasil tanaman dan bekalan makanan itu berlaku selepas satu bongkah ais terbesar di dunia bersaiz 70 kali lebih besar daripada bandar Manhattan mula pecah di Antartika tahun lalu.
Kemarau berterusan di tenggara Eropah juga mengakibatkan ribuan hektar tanaman musnah sejak dua minggu lalu.
Serentak itu, aktiviti perkapalan turut terganggu di sungai kedua terpanjang di Eropah, Danube.
Hampir semua sungai di Eropah dilaporkan kering. Di Britain, sumber air Sungai Thames sepanjang 356 kilometer (km) semakin kering di bahagian hilir dengan lebih cepat.
Bulan lalu adalah musim paling kering buat England sejak 1935 dengan purata hujan 23.1 milimeter (mm) atau hanya 35 peratus daripada purata bulan itu.
Sungai Thames merentasi sepanjang selatan England, dari Gloucestershire di barat menuju ke tengah London, sebelum memasuki laut di Essex di timur.
Memetik Reuters, mata air semula jadi yang menjadi sumber sungai itu, lazimnya mengering ketika musim panas.
Namun, untuk tahun ini ia lebih menghampiri hulu sungai berbanding tahun sebelumnya, berdasarkan pemerhatian pakar pemuliharaan.
Bulan lalu, Pejabat Meteorologi Britain buat pertama kali mengeluarkan amaran ‘haba melampau’ apabila suhu mencecah 40 darjah Celsius buat pertama kali.
Keadaan kemarau juga dilapor semakin teruk di negara termasuk Itali, Sepanyol, Portugal, Perancis, Jerman, Belanda, Belgium, Luxembourg, Romania, Hungary, utara Serbia, Ukraine, Moldova, dan Ireland.
Baca juga Gara-gara terima hadiah cermin mata, pembantu penguatkuasa PBT ditahan SPRM
Baca juga Congkak budaya universal, dari Asia hingga Eropah ada versi tersendiri