Pemandu ditemukan rentung dalam nahas di Lebuhraya Guthrie

  • Post author:

Seorang pemandu kereta jenis Mazda berwarna merah rentung selepas kenderaan dipandunya dipercayai terbabas dan terbakar di Kilometer 2 Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari Shah Alam sebelum tol Bukit Jelutong, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim, mangsa yang identitinya masih belum dikenal pasti itu, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana terbakar bersama kenderaan dipandunya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menjalani proses bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan sebab kematian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Iqbal turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.15 pagi dan tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.

Menurut Norazam, setiba di tempat kejadian pihaknya mendapati sebuah kereta jenis Mazda yang tidak diketahui nombor pendaftaran telah terbakar 100 peratus akibat kemalangan.

“Terdapat seorang mangsa ditemukan rentung di dalam kereta tersebut dan mayat yang tidak diketahui identiti serta jantina itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Baca Juga: Tak lupa Bahasa Malaysia di negara orang, Khairul Aming dapat pujian warganet

Baca Juga: Johari Abdul dipilih Ketua Pembangkang DUN Kedah yang baharu